Friday, January 27, 2006

Pekat Tapi Sihat?

Gail Borden mendapat Image hosting by Photobucketpendaftaran ciptaan (patent) untuk susu pekatnya pada tahun 1856, dan memulakan pengeluatan susu pekat di kilangnya di New York setahun kemudian, setelah tertubuhnya The New York Condensed Milk Company.
Susu pekat ('condensed milk') ialah susu lembu yang dipanaskan di dalam periuk tanpa-udara (vakum) supaya kandungan airnya keluar menjadi wap. Susu mengandungi 87% air. Susu yang dipekatkan itu dimasukkan gula (7 auns untuk 1 quart); gula memaniskan, dan juga menjadi pengawet. Jualan susu pekat Borden (cap helang) meningkat bila perang saudara meletus di Amerika Syarikat. Borden membekalkan tentera dengan susu yang boleh disimpan lama.

Selepas perang saudara, susu pekat menjadi popular di seluruh AS, malah jualannya merebak ke seluruh dunia. Cap Helang ialah antara jenama tertua di dunia.

Tidak hairanlah kalau susu pekat (condesned milk) menjadi populer di Malaysia, sebuah negara beriklim panas. Buat beberapa lama, susu Cap Junjung menjadi jenama terkenal, dan susu pekat amnya diguna untuk memaniskan — dan melemakkan — minuman panas di Malaysia, terutamanya teh tarik. Rasanya yang manis dan lemak itu sesuai dengan citarasa Malaysia.

Tekanan harga mendorongkan pembuat mencari bahan ganti untuk dimasukkan kedalam 'susu' mereka. Harga susu mahal jika dibandingkan dengan harga lemak lain, seperti lemak kelapa sawit. Sekarang 'susu pekat' di Malaysia mengambil bentuk lain, apa yang dipanggil 'filled milk' (susu yang diisi). Yang menjadi isian susu 'pekat' ini ialah lemak kelapa sawit yang banyak dikeluarkan di Malaysia dengan harga yang lebih murah daripada lemak susu. Dalam Akta Susu Isian (Filled MIlk Act) di AS, susu isian ditakrifkan sebagai:
"..sebarang susu, krim, atau susu skim, sama ada yang dipekatkan, disejatkan, dikonsentrasikan, didebukan, dikeringkan atau 'dessicated', yang telah ditambahkan sesuatu kepadanya, atau yang dicampurkan atau disebatikan dengan sebarang lemak selain daripada lemak susu, supaya hasilnya ialah sesuatu yang meniru atau yang menyerupai susu, krim, atau susu skim..." [§61.c]
Seksyen 62 seterusnya berkata: "Adalah diisytiharkan bahawa susu yang diisikan, seperti yang ditakrifkan dalam seksyen 61 dalam tajuk ini, ialah satu bahan makanan yang dimasukkan bahan asing, menjejas kesihatan awam, dan jualannya adalah satu penipuan kepada orang ramai. Membuatnya di dalam mana-mana Kawasan atau jajahan takluk Daerah Columbia oleh sesiapa ialah satu kesalahan, begitu juga adalah satu kesalahan menghantar atau menyampaikan sebarang jenis susu isian untuk dihantar untuk perniagaan di negeri lain di dalam atau luar [AS]."

Dalam satu keputusan perhakiman pada tahun 1944, dalam kes Carolene Products Co. et. al. lwn. AS, Mahkamah Tertinggi AS telah menolah permohonan untuk membenarkan penjualan susu isian seperti yang ditakrifkan di atas kerana ia boleh mengelirukan pengguna, dan menjejas kesihatan mereka.

Jada kenapakah susu pekat yang disalahkan setelah digunakan zaman berzaman di Malaysia? Kalaulah ada benarnya dakwaan bahawa 'susu pekat' (condensed milk) itu bermudarat besar kepada rakyat jelata, yang membawa penyakit yang dikaitkan dengan keterlaluan berat badan, kencing manis, penyakit jantung, maka perlu juga diperiksa perubahan yang telah berlaku kepada apa yang dipanggil 'susu pekat' di Malaysia.

Adakah lemak kelapa sawit yang mengganti lemak susu di dalam 'susu pekat' sekarang membahayakan? Terlalu banyak memakan gula itu tentu menjejas kesihatan, tetapi itu sajakah dalam soal ini? Adakah mudaratnya kerana lemak itu dihiderojankan (hydrogenated) walau pun pada sebahagainnya sahaja (partial)? Lemak yang dihiderojankan (seperti majerin) terbukti membawa mudarat kepada kesihatan (sakit jantung, kencing manis, kanser), tetapi apakah kesannya jika menjadi makanan harian orang ramai bila dicampur kedalam satu minuman populer?

Sekarang 'susu isian' mengganti — dan diterima sebagai — 'susu pekat', dan pihak pengguna tiada pilihan dalam hal ini. Susu pekat 'asli' tidak dijual lagi kerana 'susu isian' lebih murah, dan lebih menguntungkan penjualnya. Tetapi kenapakah harga 'susu pekat' tidak turun di Malaysia walau pun bahan buatannya lebih murah? Kerajaan tidak bercampur tangan dalam hal ini, padahal ehwal kesihatan orang ramai ialah tugas pemerintah, kerana kesihatan rakyat itu mempunyai kosnya, kepada ekonomi, kepada negara.


Blog akan datang: Lemak yang dihiderojankan, trans fat, dan lain-lainnya...

Saturday, January 21, 2006

Jangan Tarik, Tolak Saja...

Blog ini dilanacrkan semasa Malaysia heboh dengan isu teh tarik. Teh tarik sudah lama wujud, kenapa jadi isu pula? Jangan tarik-tarik bang, tolak saja!

Tujuan blog ini untuk meneliti isu-isu yang menjadikan kita sihat, dan yang menjadikan kita sakit, utamanya untuk renungan saya sendiri, tapi, kalau memberi faedah kepada anda, alhamdulillah, kita bersama menikmatinya.

Kata Dr Balwant Singh Bains, seorang perunding fisioterapi di Malaysia, teh tarik itu mengandungi unsur-unsur yang membahayakan kesihatan kita, beritanya boleh dibaca di laman Bernama. Ini bukan perkara baru, sudah lama dipersoalkan, dibisikkan, tetapi tidak menjadi tajuk perbualan am kerana tidak disiarkan di akhbar. Apakah benar teh tarik merbahaya?

Nanti dulu, kita tengok lagi lain kali.

Sementara itu, semoga Tuhan jadikan kita sihat selalu.